BERAKAS GARISON, Khamis, 29 Oktober 2015 – Eksesais Wira Bumi VIII 2015 bagi No. 2 Wing Tentera Udara DiRaja Brunei (TUDB) telah pun dilaksanakan dengan jayanya bermula pada 26 Oktober 2015 dan berakhir pada 30hb Oktober 2015. Eksesais ini disertai oleh ahli-ahli No. 2 Wing TUDB terdiri daripada Markas No. 2 Wing, Skuadron 33, Skuadron 38, Skuadron Pertahanan Pangkalan, Terup Kejuruteraan dan dibantu oleh Skuadron 77, No.7 Wing TUDB sebagai perancang dan pengendali eksesais ini. Majlis penutup Eksesais Wira Bumi VIII 2015 telah pun dirasmikan oleh Lt Kol (U) Hj Alirupendi bin Hj Perudin, Pegawai Pemerintah No. 2 Wing, TUDB.
 
Eksesais Wira Bumi adalah latihan medan yang berkonsepkan peperangan konvensional dan bukan konvensional yang mana ianya merangkumi latihan pertahanan udara (air defence) dengan menggunakan sistem senjata Mistral dan latihan mempertahankan pangkalan udara (air base defence). Eksesais ini telahpun dijalankan di beberapa kawasan di dalam daerah Brunei/Muara, Tutong dan juga di dalam Pangkalan Tentera Udara Rimba selama 5 hari. Eksesais Wira Bumi diadakan 2 tahun sekali dan ianya merupakan eksesais peringkat akhir bagi No 2 Wing TUDB selepas diadakan eksesais diperingkat Terup dan peringkat Skuadron yang dikendalikan setiap tahun.

Daripada ucapan Pegawai Pemerintah No 2 Wing TUDB semasa majlis penutup eksesais menyatakan Eksesais Wira Bumi ini tertumpu kepada meningkatkan kemahiran taktik pertahanan udara dan pertahanan pangkalan yang juga merupakan peranan utama No 2 Wing TUDB. Di samping itu, Peg Pem menekankan kepentingan eksesais ini kerana ianya turut dijadikan sebagai platform dalam mengenal pasti sebarang kelemahan dari sudut pengetahuan anggota dan juga kekurangan dari segi peralatan perseorangan, kenderaan dan perhubungan.


Secara keseluruhannya eksesais ini telah pun mencapai matlamat yang dikehendaki dalam meningkatkan kesiapsiagaan Rejimen Udara untuk melaksanakan operasi serta mempertingkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran taktikal anggota-anggota No. 2 Wing TUDB.