RIMBA, Isnin, Sept 7 2015 - Majlis Doa Selamat dan Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam (NBD) telah berlangsung di Pusat Gerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Rimba. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Kol (U) Shahril, Pemangku Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei. Acara kemuncak majlis ialah penyerahan bendera NBD oleh Tetamu Kehormat Majlis kepada Kpt (U) Ak Hairol Iskhandar iaitu selaku Ketua Kontinjen Ex Airguard 21/2015.Seramai 40 anggota Rejimen Udara menyertai Latihan ini yang akan berlangsung di Republik Singapura mulai 07hb September 2015 hingga 21hb September 2015. Di dalam ucapan teks Tetamu Kehormat, beliau telah menerangkan bahawa Latihan Airguard Kali pertama diadakan pada Oktober 1994 di Lim Chu Kang Camp, Republik Singapura yang dihoskan oleh Tentera Udara Republik Singapura (RSAF). Pada tahun ini Latihan Airguard mencapai usia 21 tahun dan ini membuktikan betapa pentingnya hubungan rapat dan kesefahaman yang erat di antara kedua-dua buah organisasi juga sebagai wakil negara yang telah terjalin beberapa dekad lamanya.
Tetamu Kehormat menyarankan agar anggota yang menyertai latihan untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman di samping bertukar-tukar pandangan dengan rakan-rakan dari Tentera Udara Republik Singapura. Beliau juga menekankan agar mereka menjaga disiplin dan imej ABDB semasa menjalani latihan di Singapura nanti.
