​Pangkalan Tentera Udara Rimba, Jumaat 24 Jun 2016M – Sempena memperingati hari tertubuhnya Tentera Udara Diraja Brunei yang genap 50 tahun pada 24 Jun 2016M, ahli-ahli Badan Kebajikan Isteri-isteri Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (BAKTI) Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) (BAKTI TUDB) turut menyambut hari ulang tahun yang bersejarah ini dengan mengadakan Majlis Doa Kesyukuran pada tarikh yang sama, hari Jumaat, bersamaan dengan 18 Ramadhan 1437H, di Surau Pangkalan Tentera Udara Rimba.

Majlis keagamaan, yang dihadiri oleh Ketua Cawangan BAKTI TUDB, YM Dayang Maria Eliza Carlos binti Abdullah, selaku tetamu kehormat majlis, dan juga ahli-ahli BAKTI TUDB, telah menyerikan lagi sambutan dan amalan di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh keberkatan ini.

Majlis bermula dengan menunaikan solat Fardhu Asar berjemaah yang diimamkan oleh YM PW2 (U) Md Suni bin Haji Mahmud, Imam TUDB.  Bacaan surah Yaasin beramai-ramai pula dipimpin oleh YM Lt Norazimah binti Haji Othman, Penolong Pegawai Turus dari Perhubungan Luar Tentera/Atase Pertahanan dari Jabatanarah Perisikan, Kementerian Pertahanan, dan seterusnya disusuli dengan bacaan Doa Kesyukuran oleh YM Lt Fahzilleana Emey binti Ahmad Alisa Eswan, Pegawai Latih dari Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (JAMA’AT).

Majlis bersurai dengan sesi bergambar ramai di Surau Pangkalan Tentera Udara Rimba dan juga di depan Pusat Pergerakan Udara, di mana sculpture sempena hari ulang tahun TUDB ke-50 didirikan.

BAKTI TUDB berfungsi sebagai satu persatuan kebajikan bagi isteri-isteri warga Tentera Udara Diraja Brunei, yang aktif dalam kegiatan berkebajikan, sosial & agama bersama cawangan-cawangan BAKTI yang lain.

Dengan mengadakan majlis ini, ahli-ahli BAKTI TUDB berpeluang untuk memberi sokongan serta penghargaan kepada suami masing-masing dalam kerjaya mereka sebagai warga Tentera Udara Diraja Brunei, sambil memohon rahmat dan berkat dari Allah Subhannahu Wa Ta’ala hendaknya.  Amin Ya Rabbal Alamin.