RIMBA, HARI JUMAAT, 10HB FEBRUARI 2017 – Majlis Penutup Kursus dan Latihan Penyelarasan Payung Statik Airborne bagi anggota-anggota Unit Payung Terjun Pembekal Udara Taktikal Tentera Udara Diraja Brunei telah selesai diadakan pada hari ini. Seramai 34 orang anggota kursus iaitu 20 orang peserta kursus termasuk 6 orang pegawai yang mana 2 orang pegawai daripadanya merupakan Pegawai Askar Wanita pertama, 2 orang peserta kursus berkelayakan sebagai Jurulatih dan Jumpmaster, dan seramai 12 anggota berkelayakkan sebagai Rigger  telah berjaya menamatkan kursus dan latihan tersebut.


Majlis penutup tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan pertunjukkan penerjunan anggota kursus payung statik Airborne dan ucapan daripada Peg Memerintah UPTPUT iaitu Mej Moza Syaffiarizal bin Hj Mohamad.

Tujuan kursus ini diadakan ialah untuk menyelaraskan penerjunan payung statik Airborne secara tempatan dengan menggunakan pesawat TUDB iaitu pesawat Blackhawk S70i. Kursus dan latihan ini diadakan selama 4minggu bermula dari 16 Januari 2017 sehingga 10 Februari 2017 bertempat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei, Rimba.

Sepanjang kursus dan latihan ini dijalankan, peserta kursus diajarkan sebanyak 2 fasa iaitu fasa pertama, Basic Ground Training selama 2 minggu iaitu menumpukan kepada pelajaran asas pengenalan karakteristik payung static MC1-1C, tatacara dan kawad-kawad penerjun di dalam pesawat, aircraft drills, exit yang betul, flight procedures, tatacara pendaratan (landing) yang betul dan pendaratan kecemasan (emergency landing). Manakala, fasa kedua  iaitu 2minggu terakhir untuk mempraktikkan segala pelajaran yang diajarkan serta melakukan penerjunan dari pesawat Blackhawk S70i.


Tetamu Kehormat majlis penutup tersebut ialah Timbalan Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei, Yang Mulia Kol (U) Hj Hamsani bin Hj Abd Hamid dan juga turut dihadiri oleh Pegawai-Pegawai Kanan TUDB yang lain. Majlis ini diakhiri dengan penyampaian lencana dan sijil kepada anggota kursus.