Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al- Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah berkenan berangkat menyaksikan Penembakan Peluru Berpandu Hidup Mistral pada hari Selasa, 5 April 2016M bersamaan dengan 27 Jamadilakhir 1437H yang bertempat di Bukit Agok, Lebuhraya Muara – Tutong.

Turut hadir bersama adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Awang Abdul Aziz bin Mohd Tamit dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Mohd Tawih bin Abdullah.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei, Kolonel (U) Shahril Anwar bin Haji Ma’awiyah dan Pemerintah Kumpulan Gerakan, Kolonel (U) Mohd Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim. Sejurus keberangkatan, Duli Yang Teramat Mulia berkenan mendengar sembah taklimat daripada Pemangku Pegawai Pemerintah No. 2 Wing Tentera Udara Diraja Brunei, Mejar (U) Peter bin Ulat mengenai penembakan peluru hidup berpandu Mistral bagi Eksesais Hikmat Bersatu V. Kemudian Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan penembakan peluru berpandu hidup bagi Eksesais Hikmat Bersatu V.

Eksesais penembakan peluru berpandu hidup Mistral tersebut telah bermula dari 1 April 2016 dan berakhir pada 7 April 2016, yang mana penembakan telah berjaya dilakukan pada 4 April 2016 dan 6 April 2016. Sebanyak 2 biji peluru berpandu hidup Mistral berjaya ditembakkan oleh Kpl (U) Noralimin bin Haji Hamzah dan Kpl (U) Pg Daimenul Shah bin Pg Hj Damit.

Menurut Eksesais Hikmat Bersatu V, Negara Brunei Darussalam dikenali dengan BLUELAND telah menerima ancaman pengganas dari kumpulan One Mapan Group (OMG). Didalam senario tersebut, penembakan peluru berpandu hidup Mistral adalah bagi mempertahankan ruang udara BLUELAND dari ancaman musuh menggunakan pesawat komersial yang mengandungi bahan letupan. Pertahanan Udara No. 2 Wing bertanggungjawab untuk menembak pesawat tersebut dengan menggunakan peluru berpandu hidup Mistral.

Tujuan Eksesais Hilkmat Bersatu V pada kali ini adalah bagi memperlihatkan reaksi dan kemampuan pertahanan udara didalam menyerang balas ancaman musuh dari ruangan udara. Latihan ini diadakan untuk mempersiap siagakan dan menguji kemampuan serta sistem pertahanan Tentera Udara Diraja Brunei dalam bertindak apabila menerima ancaman. Latihan ini diharapkan dapat memberi pengajaran dan pengalaman yang berguna kepada setiap anggota yang terbabit.

Latihan tersebut telah berakhir dengan jayanya apabila 2 biji peluru berpandu hidup Mistral berjaya ditembakkan bagi Eksesais Hikmat Bersatu V pada kali ini.