Kampong Kiulap, Jumaat, 22 April 2016 - 
Majlis perasmian penutup Kursus Ketua Terup Pertahanan Udara Pengambilan Pertama bagi anggota No. 2 Wing, Tentera Udara Diraja Brunei telah berlangsung di Restoran Aneka Rasa, Kampong Kiulap. Kursus ini telah dikendalikan oleh Skuadron 77, No. 7 Wing Akademi Udara Tentera Udara Diraja Brunei yang telah bermula pada 18 Januari 2016 hingga 22 April 2016. Majlis perasmian penutup kursus ini telah dirasmikan oleh Lt Kol (U) Abd Rahman bin Hj Durahman, Pemangku Pemerintah Kumpulan Gerakan, Tentera Udara Diraja Brunei.

Kursus Ketua Terup Pertahanan Udara ini dilaksanakan adalah untuk melatih pegawai-pegawai baru bagi melayakkan pegawai tersebut untuk memegang jawatan selaku Ketua Terup Pertahanan udara. Pada awalnya Kursus Ketua Terup ini dikenali sebagai Kursus Pegawai Muda Pertahanan Udara dan digantikan dengan Kursus Ketua Terup Pertahanan Udara.


Seperti lazimnya objektif Kursus ini adalah untuk melatih pegawai-pegawai baru dari segi pendudukkan tapak Mistral, membuat tinjauan tapak-tapak Mistral, mengendali Pos Perintah, mentadbir selaku Ketua Terup, mengendali padang tembak semua senjata pertahanan udara dan padang tembak sistem senjata Mistral. Anggota kursus telahpun diajarkan pelajaran lisan dan amali Sistem Senjata Mistral, Pengetahuan Pertahanan Udara, Pengetahuan Pos Perintah, Penyampaian Hukuman, Pengetahuan Semboyan, Pengenalan Pesawat Terbang dan Latihan Medan Eksesais Ketua Anak Panah.



Anggota kursus juga berpeluang untuk menghadiri taklimat kaunselling dan taklimat perundangan yang dikendalikan oleh Pusat Kaunselling dan Pejabat Perundangan yang bertempat di Bolkiah Garison. Anggota kursus juga berkesempatan mengikuti perlawanan STO Challenge yang telah diadakan di Pangkalan Rimba, Tentera Udara Diraja Brunei.




Secara keseluruhannya semua anggota Kursus Ketua Terup Pertahanan Udara Pengambilan Pertama bagi tahun 2015 telah lulus dengan jayanya dan mencapai matlamat yang dikehendaki bagi pegawai-pegawai baru ini untuk memulakan kerjaya mereka demi mempertahankan ruang udara Brunei Darussalam.