Rimba, Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei. Ahad, 4hb September 2016 – Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) telah mengadakan acara Hari Terbuka dan Keluarga Sempena Sambutan Jubli Emas Hari Ulang Tahun ke – 50 bertempat di Kompleks Sukan Pangkalan Tentera Udara, Rimba. Hadir selaku Tetamu Kehormat adalah Brigadier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah, Pemerintah TUDB bersama Datin yang disambut oleh Mejar (U) Peter Ulat @ Yulat, Pegawai Pemerintah Cawangan No.2 TUDB selaku Pengerusi Sambutan Hari Terbuka TUDB.Turut hadir bagi memeriahkan lagi sambutan tersebut ialah para Pegawai – Pegawai TUDB jemputan dalam dan luar unit selain daripada keluarga anggota TUDB dan orang ramai. Acara dimulakan dengan tetamu kehormat merasmikan Sambutan disusuli dengan sumbangan derma ke tabung dana anak- anak yatim dan teruskan dengan menyaksikan pameran Statik dan Booth, Aktiviti- Aktiviti Hiburan serta Gerai dan Jualan.
Selesai mengunjungi kawasan Sambutan, Tetamu Kehormat bersama orang ramai yang hadir dijemput untuk menyaksikan Persembahan Arena pertunjukkan dari gabungan semua Cawangan TUDB. Persembahan arena tersebut mempamerkan misi serta peranan setiap unit dalam Cawangan TUDB serta menunjukkan tugasan anggota- anggota dalam mengikut vokaysen. Sesuai dengan tema Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun TUDB iaitu “Generasi TUDB Berwawasan”, Persembahan arena tersebut memperlihatkan generasi yang akan datang agar dapat menghasilkan anggota- anggota dan pemimpin yang cemerlang di masa hadapan agar dapat memenuhi Misi dan visi TUDB.


