
﷽
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
الحَمْدُ لله رَبِّ العَالَمِيْنَ وَالصَّـلَاةُ وَالسَّـلَامُ عَلى أَشْـرَفِ الأَنْبِيَـاءِ وَالمُرْسَلِيْـنَ وَعَلٰى اٰلِهٖ وَصَحْبِهٖ اَجْمَعِيْنَ
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan kurniaNya jua kita berpeluang untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri 1444H/2023M, hari kemenangan bagi setiap umat Islam yang patut disambut dengan penuh kesyukuran.
Alhamdulillah, setelah beberapa tahun menyambut Ramadhan dengan cara yang berbeza, tahun ini kita dapat merasa kembali kemeriahannya seperti tahun-tahun sebelumnya. Surau Al-Barakah pada tahun ini juga tidak lekang dengan aktiviti-aktiviti yang mendekatkan diri kita dengan Allah Subhanahu Wata’ala melalui aktiviti-aktiviti yang berbentuk keugamaan dan kerohanian.
Beberapa majlis bacaan Yassin, Tahlil dan Berbuka Puasa telah dianjurkan di sepanjang bulan Ramadhan pada tahun ini. Ini termasuklah Majlis Berbuka Puasa bersama Takmir dan Jemaah Awam Surau Al-Barakah, Majlis Khatam Al-Quran dan Tahlil Cawangan-Cawangan Tentera Udara Diraja Brunei, Majlis Berbuka puasa bersama Mantan-Mantan Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei, Majlis Tahlil dan Berbuka puasa bersama Pegawai-pegawai luar unit Tentera Udara Diraja Brunei, Majlis Bacaan Tahlil dan Berbuka Puasa Badan Kebajikan Isteri-Isteri Tentera Udara Diraja Brunei bersama Anak-Anak Yatim, Majlis Berbuka Puasa bersama Anak-Anak berkelainan upaya anggota Tentera Udara Diraja Brunei dan Majlis Tahlil dan Berbuka Puasa bersama Mantan-Mantan Sarjan Mejar Tentera Udara Diraja Brunei, Sarjan Mejar Rejimen, Sarjan Mejar Pangkalan dan Sarjan Mejar Kawad. Tentera Udara Diraja Brunei juga telah berpeluang untuk mengambil bahagian di dalam Majlis Yaasin dan Tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji Abdul ‘Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Kubah Makam Diraja.
Kita juga telah berkesempatan untuk mengendalikan dan turut serta dalam acara-acara yang berbentuk kemasyarakatan seperti program jangkauan Ramadhan, program Ihya Ramadhan, membersihkan masjid dan tanah-tanah perkuburan. Marilah kita bersama-sama menadah tangan semoga segala amalan dan ibadah yang kita raih di bulan yang penuh pengampunan tersebut diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala.
Di dalam kita sama-sama menyambut riangnya Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, janganlah kita lupa untuk menjaga keselamatan semasa kita ziarah menziarahi keluarga, sanak saudara dan rakan taulan. Peramba/saya juga ingin mengingatkan kepada semua warga Tentera Udara Diraja Brunei untuk sentiasa menjaga kesejahteraan diri sebagai seorang tentera; berhati-hati di jalan raya dan sentiasa memberi keutamaan kepada keselamatan.
Di hari yang mulia ini, peramba/saya beserta keluarga sukacita ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1444H, Maaf Zahir dan Batin kepada semua pegawai, anggota dan kakitangan Tentera Udara Diraja Brunei beserta keluarga, termasuklah kepada pegawai-pegawai dan anggota-anggota Tentera Udara Diraja Brunei yang berada di perantauan; menjalankan tugas sebagai Penasihat/Atase Pertahanan, menjalani kursus, melaksanakan misi Independent Decommissioning Body Verification, Monitoring and Assistance Team (IDB VMAT) di Republik Filipina dan Misi Pengaman di United Nation Interim Force in Lebanon (UNIFIL), dan mewakili Brunei Darussalam dalam acara Sukan Sea yang ke 32 di Kemboja. Tidak lupa juga kepada anggota-anggota yang bertugas semasa Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, semoga amanah yang biskita semua jalankan dibalas dengan sebaik-baik ganjaran daripadaNya.
Semoga bulan Syawal pada tahun ini memberikan seribu makna dan keinsafan kepada kita semua dan semoga diberikan lagi kesempatan untuk merasai nikmatnya Ramadhan dan riangnya Syawal pada tahun hadapan.
آمِيْن يَا رَبَّ العَالَمِيْنَ
وَبِاللهِ التَّوْفِيْقُ والهِدَايَةُ وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ