RIMBA, SELASA, 23 MAC 2016 – Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) telah menerima lawatan daripada anak-anak yatim brunei seramai 150 orang. Lawatan tersebut adalah sebahagian daripada program yang dianjurkan oleh DST iaitu Program Ihsan Kasih. Datin Hajah Umi Kalthum binti Hj Mat Daud (Assistant General Manager DST Customer Service) telah turut serta di dalam lawatan tersebut. Lawatan diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada mereka tentang peluang kerjaya yang ada di TUDB.
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Staff, Lt Kol (U) Hishamuddin bin Abidin. Beliau berharap lawatan tersebut akan menarik minat mereka dan seterusnya memberi semangat kepada mereka untuk lebih tekun berusaha di dalam pelajaran.
Rombongan kemudian berpeluang untuk mendengar taklimat ringkas daripada seksyen-seksyen yang ada di TUDB seperti PATDU dan SPP. Mereka juga berpeluang untuk melihat secara dekat senjata dan peralatan-peralatan yang digunakan oleh TUDB.
Acara diteruskan dengan membawa rombongan melihat pesawat-pesawat TUDB. Antara pesawat yang dipamerkan adalah Blackhawk S70-I, Pilatus Mk – II dan Bolkow. Mereka diberi kesempatan untuk bergambar dan menaiki pesawat-pesawat statik tersebut. Lawatan diakhiri dengan jamuan yang disediakan di Dewan Punai TUDB.



