Pangkalan Rimba, Isnin, 27 Jun 2016M – Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) telah mengadakan Majlis Ceramah Khas Sempena Sambutan Nuzul Al-Quran bagi tahun 1437 Hijrah bersamaan dengan 2016 Masehi bertempat di Surau TUDB. Acara ini merupakan aktiviti tahunan bagi menyemarakkan bulan Ramadhan dan sekaligus bagi memperingati hari pertama Al-quran diturunkan sebagai panduan hidup umat Islam. Majlis dimulakan bacaan ayat Al-quran iaitu Surah Al-Baqarah ayat 183 hingga ayat 186. Bacaan ayat Al-Quran telah dibacakan oleh 1068 Lt (U) Qamarul Ariffin Bin Haji Ramli.
Ceramah Khas bertajuk ‘Al-Quran Penawar dan Ubat Bagi Rohani dan Jasmani’ yang telah disampaikan oleh penceramah undangan iaitu Yang Mulia Ustaz Dr Andas Hj Ismuhadi Bin Hj Abdullah. Beliau telah menyampaikan sebahagian kecil intisari daripada kandungan ayat Al-Quran tentang bagaimana Al-Quran boleh menjadi penawar khususnya bagi umat Islam dan disamping itu juga beliau telah mengongsikan faedah dan pentingnya akan mempelajari dan memahami kandungan Al-Quran kerana di dalamnya terdapat pelbagai kelebihan yang dapat dijadikan sebagai penawar dan panduan umat Islam bagi menuju kejayaan di akhirat nanti. Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardhu Zohor berjemaah dan seterusnya mendengarkan ceramah khas.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Penceramah undangan oleh Tetamu Kehormat Majlis, Pemerintah TUDB, Brigadier Jeneral (U) Shahril Anwar Bin Hj Ma’Awiah.

