Pangkalan Rimba, Rabu, 3 Mei 2017 – Pada 6 Sya’ban 1438 bersamaan dengan 3 Mei 2017, Cawangan No. 4 Wing Tentera Udara Diraja Brunei telah menerima pucuk pimpinan yang baru. Upacara Serah Terima Tugas Pegawai Pemerintah No.4 Wing ini adalah diantara Yang Mulia, 347 Leftenan Kolonel (U) Harmadi bin Haji Mamit dan Yang Mulia, 593 Mej (U) Sherpor Nezam bin Abd Ghapor. Upacara ini telah berlangsung di Pusat Gerakan Udara, Pangkalan Rimba.Antara yang hadir menyaksikan upacara tersebut ialah semua warga tentera dan kakitangan awam No.4 Wing. Upacara dimulakan dengan Pegawai Pemerintah memeriksa Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota No.4 Wing dan diteruskan dengan Pegawai Pemerintah menandatangani Sijil Serah Terima Tugas dengan Pegawai Pemerintah No.4 Wing yang baru dan diikuti dengan bacaan doa khas bagi upacara tersebut yang dibaca oleh Lans Kopral (U) Asriwendey bin Hj Majid.
Pegawai Pemerintah No.4 Wing seterusnya menerima kehormatan yang terakhir dan upacara diteruskan dengan Pegawai Pemerintah baru memeriksa Kawalan Kehormatan. Acara diteruskan dengan Pegawai Pemerintah baru menyampaikan ucapan dan seterusnya menerima kehormatan. Upacara diakhiri dengan jamuan ringan dan bergambar ramai.
Leftenan Kolonel (U) Harmadi bin Haji Mamit akan menjawat jawatan di Markas Kumpulan Bantu, Tentera Udara Diraja Brunei, sebagai Pemerintah Kumpulan Bantu.



