

MESYUARAT PERANCANGAN EKSESAIS AIRGUARD 26/21
Pangkalan Tentera Udara Rimba, Isnin, 28 Jun 2021 – Mesyuarat Perancangan Eksesais Airguard 26/21 berlangsung dalam talian di Pusat Pergerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Rimba.
Mesyuarat ini dimulakan dengan ucapan perasmian daripada Mejar (U) Amierul Halpi bin Haji Talip, Penolong Pegawai Pemerintah, Cawangan No. 2, TUDB. Dalam mesyuarat itu, Mejar (U) Pg Muhd Qamarul Ehsan, Pegawai Memerintah, Skuadron 238, Cawangan No. 2, TUDB dan seorang wakil dari Batalion Pertahanan Artileri ke-18, Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) telah mengadakan perbincangan interaktif mengenai Kawasan Pertahanan Ruang Udara dan koordinasi serta perancangan bagi Eksesais Airguard yang akan datang.
Kedua-dua pihak juga menyentuh pelbagai isu yang akan dipertimbangkan dalam eksesais yang akan datang seperti pentadbiran, anggaran bajet latihan, jadual program latihan, pilihan tarikh, konsep latihan, keselamatan, perubatan dan langkah-langkah mengawal penyebaran Pandemik COVID-19.
Tujuan Eksesais Airguard ini adalah untuk meningkatkan interoperabiliti antara kedua Angkatan Tentera Udara melalui prosedur latihan pertempuran dan pengerahan lapangan.